Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas
KAMPUNG MATA-MATA, Isnin, 11 Mei. - Sebagai manifestasi kesyukuran dan bagi memahat peristiwa bersejarah enam dekad pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baginda telah memperkenankan pembinaan sebuah mercu tanda agung sempena Sambutan Jubli Intan baginda.
Mercu tanda ini bukan sekadar binaan, melainkan sebuah mahligai ibadah yang indah dan permai iaitu Masjid Jubli Intan.
Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Peletakan Batu Asas Masjid Jubli Intan di Tapak Pembinaan Masjid Jubli Intan, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Mata-Mata, Kawasan 3, Mukim Gadong 'B', pagi tadi.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Penasihat-penasihat Bersama dan Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Pembinaan Masjid Jubli Intan, Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, selaku Timbalan Pengerusi II Jemaah Tadbir YSHHB; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Ahli Jemaah Tadbir YSHHB; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, selaku Ahli Jemaah Tadbir YSHHB dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. Ini diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Pembinaan Masjid Jubli Intan.
Atur cara majlis diteruskan dengan laungan azan oleh Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh dan bacaan zikir oleh Pegawai-pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Kebawah DYMM seterusnya dijunjung bagi penyempurnaan peletakan batu asas Masjid Jubli Intan dengan diiringi laungan tiga kali takbir dan bacaan zikir oleh para pegawai masjid.
Baginda kemudiannya berkenan menyaksikan tayangan klip video mengenai projek pembinaan, pameran dan mendengar sembah taklimat mengenai konsep dan reka bentuk Masjid Jubli Intan yang disembahkan oleh Bahagian Arkitek, Jabatan Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan. Sebelum mengakhiri majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.
Bangunan masjid baharu tersebut akan dikenali dengan nama Masjid Jubli Intan dan menjadi sebuah mercu tanda ristaan sepanjang zaman dan kegemilangan 60 tahun pemerintahan Kebawah DYMM di atas takhta yang berteraskan keimanan dan ketakwaan kepada generasi masa ini dan masa hadapan.
Masjid Jubli Intan akan diiktiraf sebagai masjid pertama di Negara Brunei Darussalam yang mempunyai pensijilan Bangunan Hijau di mana pembangunan rohani dan kelestarian alam sekitar dicantumkan.
Masjid tersebut yang berkapasiti seramai 4,246 orang jemaah, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik kuliah, bilik perpustakaan, bilik pengurusan jenazah, tandas serta kawasan letak kereta bagi keselesaan dan kemudahan orang ramai termasuk Orang Kelainan Upaya bagi para penduduk STKRJ Kampung Mata-Mata, Mukim Gadong 'B' dan juga masyarakat sekitarnya.
Kos pembiayaan pembinaan masjid ini dibiayai melalui Rancangan Kemajuan Negara dan sebahagian lagi melalui kutipan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid sumbangan orang ramai dan sektor swasta. Masjid ini insyaaAllah dijangka siap pada 31 Julai 2027.
Konsep reka bentuk yang dipilih merupakan cadangan Ketua Bahagian Bangunan dan Pemeliharaan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Arkitek Awang Haji Azmi bin Awang Haji Tahir dan dibantu oleh Awang Abdul Azeem bin Abdul Rahman, seorang arkitek tempatan di KHEU.





